Isnin, 16 November 2009

Pengenalan


Gugusan FELDA Lok Heng yang terletak di Mukim Sedili Kecil dalam Daerah Kota Tinggi adalah terdiri daripada tiga buah tanah rancangan peneroka FELDA iaitu FELDA Lok Heng Timur, FELDA Lok Heng Barat dan FELDA Lok Heng Selatan. FELDA Lok Heng Selatan telah dibangunkan atas tanah seluas 1,768 hektar pada tahun 1978 dengan tanaman kelapa sawit. Jarak perjalanan untuk sampai ke sini dari Kota Tinggi ialah 42 kilometer.

Pintu gerbang yang cantik dan besar terukir dengan perkataan ‘Selamat Datang ke Perkampungan FELDA Lok Heng Selatan’ mengalu-alukan kedatangan pengunjung apabila sampai ke kampung ini. FELDA Lok Heng Selatan terbahagi kepada 70 peratus kawasan paya yang rendah dan 30 peratus kawasan landai yang berbukit. Kawasan yang berpaya dan rendah ini rata-ratanya adalah tanah gambut yang sangat subur untuk tanaman sawit.

Keadaan tanah yang lembut di kawasan paya menyebabkan banyak pokok kelapa sawit menjadi condong dan tumbang. Banjir pula sering berlaku di kawasan ini dan air mudah dinaiki apabila hujan lebat turun dua hingga tiga jam serta mengambil masa tujuh hingga sepuluh hari untuk surut. Ini menyebabkan pokok-pokok kelapa sawit menjadi tidak subur dan terencat pembesarannya serta mengakibatkan pengurangan pengeluaran hasil sebanyak 50 peratus hingga 60 peratus berbanding dengan kawasan bukit.

Perpustakaan Desa (PD) FELDA Lok Heng Selatan terletak di kawasan lapang berhampiran Jalan Di dikasi dan berada di hujung padang awam serta di sebelah Dewan Raya dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA).